Flash News
Mail Instagram Pinterest RSS

10 Tips Menjadi Ibubapa Cemerlang Gemilang Terbilang

tips menjadi ibubapa cemerlang




Tips menjadi ibubapa cemerlang. Anak anugerah Allah. Kehadirannya dinanti, celotehnya menggamit hati. Menjadi penghibur pasangan suami isteri. Sebagai ibubapa, kita semestinya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Kita sanggup buat apa sahaja demi anak-anak. Namun, kerana kesibukan mencari rezeki dan keselesaan hidup, adakalanya kita terlepas pandang banyak perkara penting. Sedar-sedar, anak-anak dah besar tanpa perhatian yang secukupnya daripada kita. Masanya masih belum terlambat, untuk kita memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Saya kongsikan 20 tips menjadi ibubapa cemerlang untuk melahirkan anak-anak yang gemilang terbilang.

10 tips menjadi ibubapa cemerlang
Bukan mudah untuk mendidik anak menjadi yang cemerlang. Cemerlang. Jangan kita sempitkan hanya dalam skop pelajaran semata-mata. Cemerlang bukan sekadar diukur dengan jumlah A yang anak-anak kita dapat. Markah ujian dan peperiksaan jangan dijadikan kayu ukur utama kecemerlangan anak-anak. Saya rasakan, ini tidak adil. Anak-anak dilahirkan penuh variasi dan kehebatan masing-masing. Untuk mencari nilai sebenar anak-anak, tanggungjawab ini pastinya dipikul ibubapa.

Ayuh, sama-sama kita baca dan hadami 20 tips menjadi ibubapa cemerlang. Tips ini khas saya tujukan buat diri sendiri. Bukan sekadar penceritaan biasa, malah menjadi tonik untuk saya dan anda semua menjadi ibubapa yang terbaik untuk anak-anak. InsyaAllah.

 1. Namakan anak dengan nama baik – Dah jadi trend semasa, anak-anak diberi nama yang extravaganza. Tak salah, tapi biarlah ada makna yang baik. Dah namakan dengan nama yang elok, panggillah juga dengan nama penuhnya. Kalau Muhammad, jangan panggil mamat!

2. Pelukan setiap hari – Pelukan/mendakap anak-anak penting. Memang terbukti boleh buat IQ dan EQ anak-anak lebih kuat dan positif. Mereka lebih rasa disayangi dan dihargai. Sebelum tidur dan bangun tidur. Peluklah anak-anak anda dengan penuh kasih sayang.

3. Cara pandangan – Cara kita pandang anak-anak juga penting. Anak-anak ni suci bersih. Mereka tahu menilai setiap gaya pandangan kita. Pandanglah anak-anak dengan penuh belas dan pandangan kasih sayang. Moga-moga, apa yang tergambar dalam mata anak-anak ialah pandangan redup ibubapa yang menenangkan jiwa. Yang diingati dan dirindui setiap masa.

4. Puji anak – Kita yang dewasa pun sukakan pujian, apatah lagi anak-anak. Anak-anak lebih mudah dipuji. Pujian berbentuk pelukan, kata-kata semangat, ciuman, hadiah dan lain-lain mampu membuatkan anak kita rasa dihargai dan diberi perhatian. Saya yakin, bukan hadiah mahal yang anak-anak pinta, cukup sekadar kita belikan mainan murah, pasti terpancar rasa gembira bila mereka menerimanya.

5. Jangan terlampau berharap – Adakalanya kita mungkin sentiasa mengharap yang terbaik daripada anak-anak. Kita kena sedar dan berfikiran logik, anak-anak ada juga masanya tak konsisten dalam banyak hal. Sama macam kita juga. Teruskan mendidik anak-anak kita dengan penuh kesabaran. Memang perlukan kesabaran yang tinggi. InsyaAllah, berkat sabar ni akan membuahkan hasil yang manis. Kalau bukan di sini, insyaAllah di sana nanti.

6. Bijak buat pilihan – Biasanya, kita tersilap buat keputusan. Contohnya,  jika ada masalah di tempat kerja dan juga masalah keluarga, pilihlah untuk selesaikan masalah keluarga terlebih dahulu. Keluarga berhak berada dalam pilihan nombor satu kita. InsyaAllah, keluarga kita aman, kita kerja pun lebih bersemangat dan komited.

7. Jangan mengeluh – Saya akui, membesarkan anak-anak ni memang penuh cabaran dan dugaan. Memang penat dan pelbagai perasaan lagi. Saya nasihatkan diri saya sendiri, perkara yang perlu kita jaga ialah jangan kita mengeluh atas dugaan dan cabaran yang kita hadapi. Lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Sama-sama kita pohon dikurniakan kesabaran untuk membesarkan anak-anak.

8. Dengar cerita anak-anak – Sampai masanya, anak-anak memang suka bercerita itu dan ini. Belajarlah untuk menjadi pendengar yang setia. Banyak yang boleh kita selit untuk menjadikan anak kita bercakap dengan baik. Masa inilah untuk kita betulkan apa sahaja perkataan yang kurang elok yang ditutur anak-anak. Bagus juga bila kita dapat disiplinkan anak-anak tentang keutamaan bila bercakap.

9. Sentiasa ada untuk anak – Menjadi pendengar yang setia. Anak-anak ni, memang macam-macam perangai. Anak sulung lain perangainya. Anak kedua lain perangainya. Kita ibubapa yang cemerlang harus sentiasa aa masa untuk anak-anak. Cari masa untuk dengar cerita anak walaupun hanya cerita dia main warna-warna di sekolah!

10. Tunjuk cara untuk tenangkan diri – Kita kadang-kadang cepat kalut dan panik dalam menghadapi permasalahan. Kita harus sedar, anak-anak adalah peng’copy-paste’ terbaik yang ada dalam dunia. Setiap tindakan kita menjadi model untuk anak-anak. Maka, wajar sekali kita sendiri tunjukkan contoh terbaik untuk menghadapi tekanan dan masalah.

Inilah antara senarai tips menjadi ibubapa cemerlang. Menulisnya memang mudah, namun melaksanakannya secara konsisten memang benar-benar memerlukan kekuatan dan kerjasama antara suami isteri. Saya juga masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki. Ayuh, bersama kita wujudkan sebuah rumahtangga yang benar-benar menepati ciri-ciri Rumahku Syurgaku.

Bagaimana mungkin impian ini dicapai seandainya anak-anak kita lebih ‘sukakan’ pembantu rumah? Sama-sama kita fikir dan hadami bersama. Moga ada kebaikan dan Semoga anak-anak Abah, Kakak dan Adik menjadi anak soleh solehah. 

0 comments:

Post a Comment