Flash News
Mail Instagram Pinterest RSS

Modul 'Bina Bangsa' untuk sekolah kebangsaan dan vernakular - Menteri Pendidikan


Modul 'Bina Bangsa' untuk sekolah kebangsaan dan vernakular - Menteri Pendidikan 
KUALA LUMPUR: Modul  ‘Bina Bangsa’ yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di semua sekolah rendah pada tahun hadapan, akan membabitkan  Sekolah Kebangsaan (SK)  serta sekolah-sekolah vernakular.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata program bersama itu akan menyaksikan penyertaan semua pelajar sekolah rendah, tidak kita dari SK atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Saya sebut sebagai permulaan kita wujudkan program bersama antara SK dan sekolah vernakular.

“Himpunan pelajar salam program itu adalah untuk semua sekolah (rendah). Itu maksud saya,” katanya dalam satu mesej pesanan ringkas kepada Astro AWANI pada Khamis.

Mahdzir berkata demikian semasa menepis kenyataan 
Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang mempersoalkan keperluan untuk modul berkenaan diperkenalkan bagi sekolah rendah vernakular apabila pendaftaran golongan bukan Bumiputera di sekolah kebangsaan berada pada paras yang rendah, buat masa ini.

Zairil, di dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, sekolah kebangsaan sebenarnya kini lebih didominasi satu bangsa berbanding dengan sekolah vernakular, terutamanya sekolah Cina.

Zairil yang juga jurucakap Parlimen DAP bagi Pendidikan, Sains dan Teknologi turut menegaskan bahawa hanya dengan mencadangkan sekolah vernakular perlu menjalani program ini, ia memberi gambaran bahawa sekolah-sekolah vernakular adalah penghalang kepada perpaduan negara.

Beliau menambah, daripada meletakkan sistem pendidikan pelbagai aliran di Malaysia sebagai penghalang perpaduan, kementerian itu harus melihat nilai-nilai yang disampaikan serta kualiti pendidikan sedia ada, terutama di sekolah kebangsaan.
Baru-baru ini dilaporkan bahawa modul 'Bina Bangsa' akan diperkenalkan untuk sekolah rendah jenis kebangsaan bagi menangani kekurangan interaksi antara kaum di kalangan pelajar.

Menurut Mahdzir, kurangnya kemasukan pelajar bukan Melayu di sekolah kebangsaan adalah kerana kewujudan sekolah-sekolah vernakular.

0 comments:

Post a Comment